JPJ Johor tahan dua lori bawa muatan lebih had - Utusan Malaysia

JPJ Johor tahan dua lori bawa muatan lebih had

ANGGOTA JPJ Johor melakukan pemeriksaan melibatkan lori dalam Op PKP 2.0 yang diadakan di daerah Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menahan dua lori yang membawa lebih muatan menerusi Op PKP 2.0 di dua lokasi sekitar bandar raya ini, semalam.

Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, penahanan tersebut melibatkan sebuah lori jenis tipper di Kilometer 41 Lebuhraya Linkedua, Iskandar Puteri manakala lori semi trailer ditahan di Plaza Tol Kulai menghala Skudai.

Jelas kenyataan itu, kedua-dua kenderaan berkenaan ditahan dalam operasi harian yang dilakukan di seluruh negeri bermula pukul 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan dan penentuan timbang berat dibuat mendapati kedua-dua lori itu membawa muatan lebih daripada jumlah had dilesenkan.

“Selain itu, lori jenis tipper turut melakukan kesalahan lain seperti penggunaan cermin gelap, tiada pelekat reflector untuk kenderaan perdagangan, tayar kenderaan yang haus dan menambah pagar sisi tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, lori semi trailer terbabit disita untuk siasatan dan tindakan lanjut kerana disyaki mempamerkan maklumat Berat Dengan Muatan (BDM) palsu pada badan kenderaan.

“Kedua-dua lori diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD 2010), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan atas kesalahan membawa muatan melebihi had dibenarkan.

“JPJ Johor terus melakukan operasi bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang, peraturan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa dalam pemantauan pihak berkuasa,” katanya.

Jelasnya, mana-mana pihak yang mempunyai aduan trafik boleh disalurkan ke laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan aduan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya