PUTRAJAYA: Bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) dijamin mencukupi bagi menampung urus niaga pelanggan di seluruh negara termasuk di cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, MyEG dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Bermotor (Puspakom).
JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 1,145,000 keping disk LKM dibekalkan kepada empat lokasi itu bulan lalu agar bekalan mencukupi.
Menurut kenyataan itu, JPJ dengan kerjasama pembekal dokumen disk LKM juga menghantar bekalan tambahan 420,000 keping lagi baru-baru ini agar tidak timbul masalah putus bekalan.
“JPJ memberi jaminan kekurangan bekalan disk LKM tidak akan berlaku supaya pengguna tidak menghadapi kesulitan menjalankan urus niaga berkaitan LKM,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan, para pelanggan dinasihati mengutamakan urus niaga secara dalam talian dan tidak terburu-buru mendapatkan dokumen fizikal di kaunter-kaunter.
“Ini bagi mengelakkan kebanjiran orang ramai di cawangan JPJ dan rakan niaga ketika pandemik Covid-19.
“Ia juga selaras dengan pengecualian memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan LKM persendirian dari 1 Februari hingga 31 Mac depan,” katanya. – UTUSAN