Johnny, Puppy dilatih usir monyet liar - Utusan Malaysia

Johnny, Puppy dilatih usir monyet liar

KHAIROL Nizam Mohd. Zaki bersama dua ekor anjing yang menjaga kawasan Taman Paya Bakau Manjung daripada gangguan monyet liar di Manjung, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Ancaman monyet liar yang sering mengganggu pengunjung Taman Paya Bakau, dekat sini dijangka tidak berlaku lagi apabila kawasan itu dibuka semula kepada umum selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir nanti.

Ini berikutan kehadiran dua ‘penjaga’ dikenali sebagai Johnny dan Puppy yang dilatih khusus untuk mengusir monyet liar di situ daripada berkeliaran di lokasi yang dikhususkan untuk pengunjung.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, dua ekor anjing tersebut dilesenkan di bawah Undang-undang Pelesenan Anjing (MPM) 1993 bagi menjaga taman itu serta melindungi pengunjung daripada gangguan monyet dan haiwan liar lain.

“Sebelum ini, kehadiran monyet liar dalam bilangan yang banyak mengganggu pengunjung termasuk merampas makanan dibawa serta mencuri beg tangan.

“Selepas ini, ia tidak akan berlaku lagi kerana Johnny, anjing jantan dan pasangannya, Puppy, bertindak sebagai pengusir monyet selain mengawasi jika ada haiwan berbisa lain seperti ular kapak yang ada di taman paya bakau ini daripada mengganggu orang ramai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dua ekor anjing itu asalnya adalah anjing liar kemudian menjadi jinak sebelum dilatih untuk menjadi haiwan peliharaan MPM buat julung kalinya.

Sementara itu, pengawal keselamatan yang juga pengajar dan penyelia anjing tersebut, Khairol Nizam Mohd. Zaki, 37, berkata, Puppy mula datang ke situ sekali-sekala sejak April lalu sebelum terus berada di taman itu sejak Oktober lepas.

Katanya, Johnny pula mula datang ke situ sejak Disember lalu dan dia mengambil masa kira-kira seminggu untuk melatih dua ekor anjing tersebut.

Menurut Khairol Nizam, sehingga kini dua ekor anjing itu tidak pernah mengganggu manusia selain memahami tugasnya iaitu melindungi orang ramai daripada gangguan monyet dan haiwan berbisa lain.

“Saya tetap menjaga batas sebagai orang Islam dengan sentiasa memakai sarung tangan apabila menyentuh kedua-dua haiwan itu.

“Sehingga kini juga saya belum pernah memandikan kedua-dua ekor anjing ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya