JEC gantung tugas Hamid Sultan enam bulan - Utusan Malaysia

JEC gantung tugas Hamid Sultan enam bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) hari ini menggantung perkhidmatan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer selama enam bulan berhubung aduan melibatkan isu penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya.

Jawatan kuasa yang bersidang secara tertutup dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan untuk menggantung perkhidmatan hakim kanan itu bermula hari ini hingga 27 Ogos ini.

Difahamkan, Hamid Sultan juga akan bersara pada bulan Ogos.

Peguam Datuk Joy Wilson Appukuttan yang mewakili Hamid Sultan memberitahu pihak media, JEC memaklumkan perkara itu melalui sepucuk surat bahawa jawatan kuasa tersebut berpuas hati terhadap aduan yang dibuat ke atas anak guamnya.

Menurut beliau, pihaknya akan mendapatkan arahan daripada hakim berkenaan berhubung tindakan lanjut yang perlu diambil berkaitan keputusan jawatan kuasa itu.

Joy Wilson mengesahkan bahawa Hamid Sultan tidak hadir pada sesi inkuiri tertutup yang dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya dekat sini, petang tadi.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Hamid Sultan untuk menangguhkan prosiding inkuiri itu sementara menunggu rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 21 Januari lalu, Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menolak permohonan hakim berkenaan untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan JEC.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili JEC untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Hamid Sultan melibatkan isu penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya.

Pada 20 Oktober tahun lalu, Hamid Sultan memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Pengerusi JEC yang juga Ketua Hakim Negara dan JEC masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau memohon perintah membatalkan keputusan responden berhubung
prosiding inkuiri secara tertutup, selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Persekutuan Perlembagaan.

Hamid Sultan, dalam afidavit sokongan yang difailkannya menyebut, permohonan itu difailkan berdasarkan keputusan responden pertama untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain.

Aduan pertama melibatkan penghakimannya di Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso & satu lagi.

Aduan kedua melibatkan afidavit yang diikrarkan bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya, mendiang Datuk Seri Utama Karpal Singh.

Menurut Hamid Sultan, siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup kerana ia bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Hamid Sultan memfailkan saman sama ada JEC boleh menyiasat penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya