JEC bersidang Khamis ini siasat aduan terhadap Hamid Sultan - Utusan Malaysia

JEC bersidang Khamis ini siasat aduan terhadap Hamid Sultan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Etika Hakim (JEC) bersidang secara tertutup Khamis ini bagi menyiasat aduan yang dibuat terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer berhubung isu penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya.

Perkara itu ditetapkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi, di sini hari ini menolak permohonan Hamid Sultan untuk menangguhkan prosiding inkuiri itu sementara menunggu rayuannya diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Datuk Seri Mariana Yahya melalui aplikasi Zoom yang turut disertai Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambali dan peguam Datuk Joy Wilson Appukuttan mewakili hakim berkenaan.

Persidangan itu akan berlangsung pukul 3 petang di Istana Kehakiman, Putrajaya dan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Ahmad Hanir memberitahu pihak media bahawa mahkamah menolak permohonan itu selepas mendapati Hamid Sultan gagal menunjukkan sebarang keadaan khas bagi membolehkan penangguhan dibenarkan.

Ujarnya, mahkamah berpendirian JEC masih belum memutuskan sama ada pemohon telah melanggar Kod Etika Hakim dan jawatankuasas itu harus diberi peluang untuk menjalankan tugas sebagaimana diperuntukkan bagi memutuskan mengenai aduan yang dibuat terhadap pemohon.

Hamid Sultan memohon untuk menangguhkan prosiding inkuiri itu sementara menunggu rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, didengar di Mahkamah Rayuan. Rayuan itu belum ditetapkan tarikhnya.

Pada 21 Januari lalu, Mariana menolak permohonan hakim berkenaan untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan JEC.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili JEC untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh Hamid Sultan melibatkan isu penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya.

Pada 20 Oktober tahun lalu, Hamid Sultan memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Pengerusi JEC yang juga Ketua Hakim Negara dan JEC masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Beliau memohon perintah membatalkan keputusan responden berhubung prosiding inkuiri secara tertutup, selain deklarasi bahawa keputusan itu tidak sah dan batal serta bercanggah dengan Perkara 5 dan 8 Persekutuan Perlembagaan.

Hamid Sultan, dalam afidavit sokongan yang difailkannya menyebut, permohonan itu difailkan berdasarkan keputusan responden pertama untuk menyiasat dua aduan yang dibangkitkan terhadapnya oleh hakim lain.

Aduan pertama melibatkan penghakimannya di Mahkamah Rayuan dalam kes Pendakwa Raya menentang Aluma Mark Chinonso & satu lagi.

Aduan kedua melibatkan afidavit yang diikrarkan bagi menyokong saman pemula difailkan peguam Sangeet Kaur Deo, yang memohon beberapa deklarasi berhubung keputusan mahkamah dalam rayuan bapanya, mendiang Datuk Seri Utama Karpal Singh.

Menurut Hamid Sultan, siasatan berhubung salah laku membabitkan hakim tidak boleh dilakukan secara tertutup kerana ia bercanggah dengan prinsip kebebasan kehakiman.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Hamid Sultan memfailkan saman sama ada JEC boleh menyiasat penghakiman dan afidavit yang diikrarkannya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya