PUTRAJAYA: Prihatin dengan kebajikan para pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tampil mengagihkan pek makanan percuma.
Program Jawi Food Bank melalui Dapur It’am 3.0 di bawah Musa’adah Covid-19 itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Acara berlangsung di Bangunan Jawi, Pusat Islam Kuala Lumpur semalam itu juga mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Mohd. Chan dan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia.
Turut terlibat dalam inisiatif tersebut ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan program yang julung kali berlangsung itu malah diadakan setiap hari Isnin hingga Jumaat.
“Insya-Allah program ini akan diteruskan pada setiap hari bekerja sehingga 11 April depan dan proses pengagihan bermula pukul 11.30 pagi,” kata Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail.
Beliau menambah, sebanyak 200 pek makanan tengah hari diedarkan secara konsep pandu lalu dan usaha khas ini sejajar slogan Jawi Food Bank iaitu ‘Anda Sumbang, Kami Sampaikan’.
Langkah itu juga ujarnya sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan komuniti penghantar tersebut yang sibuk mencari rezeki di sekitar ibu negara demi menyara ahli keluarga di rumah.
Jawi Food Bank yang diwujudkan oleh agensi itu melibatkan pelbagai pihak antaranya Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan MAIWP.
Ia ditubuhkan sejak 2019 bagi meringankan beban hidup rakyat miskin terutama di Wilayah Persekutuan sebelum diperluaskan meliputi bantuan untuk mangsa bencana di seluruh negara. – UTUSAN