PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik 19 ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang berkuat kuasa serta-merta.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Jawatankuasa tersebut berperanan menasihati Seri Paduka Baginda mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.
“Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai urus setia jawatan kuasa tersebut,” jelas kenyataan tersebut semalam.
Selain Tun Ariffin, 18 lagi anggota jawatan kuasa itu membabitkan individu daripada pelbagai bidang seperti keselamatan, kesihatan, perkhidmatanm awam, politik, undang-undang dan ahli akademik.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 adalah platform yang baik bagi memberikan pandangan pelaksanaan darurat.
Menjelaskan perkara tersebut beliau berkata, semua yang tersenarai boleh memberikan pandangan berdasarkan pengalaman profesion masing-masing.
“Saya lihat jawatankuasa ini baik kerana menggabungkan beberapa individu daripada pelbagai profesion seperti bekas ketua hakim, polis, mereka yang berpengalaman dan yang tak ada kepentingan politik.
“Pada masa sama, ada juga mewakili ahli parlimen dari berlainan parti politik. Jadi saya nampak ia satu plafrom untuk beri pandangan daripada suara rakyat dan dasar yang seharusnya dilakukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Noh dalam masa sama berterima kasih atas pelantikan dan memberi kepercayaan kepadanya untuk terlibat sama dalam jawatankuasa berkenaan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, beliau memberi komitmen sepenuhnya terhadap pelantikan tersebut kerana ia adalah tanggungjawab besar.
“Alhamdulillah, namun setakat ini saya belum dapat sebarang maklumat lanjut. Cuma saya lakukan yang terbaik kerana diberi kepercayaan.
Senarai 19 Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021
1. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria – Pengerusi2. Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman
3. Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai
4. Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin
5. Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Prof. Tan Sri Dr. Mohamad Taha Arif
6. Pakar bedah jantung, Tan Sri Dr. Yahya Awang
7. Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Tan Sri Ter Leong Yap
8.Pro-Canselor Universiti Cyberjaya, Tan Sri Dr. R. Palan
9. Bekas Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Peguam Negara, Datuk Sallehuddin Saidin
10. Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
11. Pakar Kesihatan Awam, Prof. Datuk Dr. Andrew Kiyu Dawi anak Usop
12. Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman.
13. Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar
14.Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim
15. Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd. Dun
16. Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh
17. Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
18. Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook
19. Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad