Jangan jadikan warga asing kambing hitam - Mohideen

Jangan jadikan warga asing kambing hitam 

MOHIDEEN ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mencari penyelesaian yang rasional untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 dan dalam masa sama memastikan warga asing tidak dijadikan kambing hitam. 

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, pihaknya amat terkejut dengan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan pihak pengurusan kawasan kediaman dan kondominium dibenarkan untuk membuat ujian saringan Covid-19 terutama kepada warga asing sebelum mereka dibenarkan memasuki premis. 

Menurut beliau, Akta Pengurusan Strata (SMA) 2013 tidak mempunyai peruntukan membenarkan badan pengurusan bersama atau perbadanan pengurusan untuk memaksa penghuni menyerahkan hasil ujian saringan mereka. 

“Kenyataan yang menyasarkan warga asing ini adalah tidak bijak terutamanya apabila datang daripada seorang menteri kerana boleh mencetuskan serangan xenofobia terhadap pekerja asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan untuk membuat peraturan menjalankan ujian calitan Covid-19 terhadap warga asing bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan mereka. 

Ismail Sabri berkata, kondominium dan apartmen tertutup adalah kawasan persendirian yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka. 

Menurut Mohideen, pekerja asing tidak wajar dijadikan kambing hitam kerana situasi pandemik Covid-19 semasa yang sangat buruk adalah jelas berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 September tahun lalu. 

Katanya, situasi juga semakin buruk apabila perjalanan rentas daerah dan negeri dibenarkan pada 7 Disember tahun lalu. 

Tambah beliau, kerajaan telah mengarahkan majikan supaya memastikan semua pekerja asing mereka menjalani pemeriksaan Covid-19 secara mandatori bermula awal tahun ini. 

“Kami ingin bertanya jika hasil ujian saringan yang dilakukan sebulan itu masih sah atau pekerja warga asing perlu mengambil ujian saringan setiap dua minggu. 

“Andaikan pihak pengurusan hartanah memaksa pekerja asing menunjukkan hasil ujian saringan Covid-19, hampir tiada seorang pun daripada pekerja ini mampu menjalani ujian jika majikan tidak mahu membayar untuk mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN