KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. ISA abdul Samad bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3.09 juta, enam tahun lalu.
Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan gagal mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas imbangan kebarangkalian bahawa penerimaan wang suapan oleh tertuduh seperti dalam sembilan pertuduhan adalah dilakukan secara rasuah sebagai upah membantu menguruskan pembelian hotel berkenaan.
Pada masa ini, pihak pembelaan sedang membuat rayuan bagi hukuman.
Berdasarkan pertuduhan, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. (GAPSB), Ikhwan Zaidel menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md. Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015 di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama. – UTUSAN