KUALA LUMPUR: Bakal melangsungkan perkahwinan kurang dua hari lagi, pelakon, Intan Ladyana akui peningkatan kes Covid-19 sedikit sebanyak memberi kesukaran buat pihaknya untuk membuat perancangan.
Tambahnya, buat masa ini majlis pernikahannya hanya akan membabitkan ahli keluarga terdekat sahaja bagi menghormati prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan pihak berkuasa.
“Alhamdulillah persiapan kebanyakkannya sudah siap, cuma dalam keadaan sekarang ini contohnya dengan kes Covid-19 makin meningkat setiap hari jadi agak susah untuk membuat perancangan atau meletakkan satu tarikh untuk majlis.
“Harapnya tiada sebarang perubahan saat akhir dan semoga ia berjalan dengan lancar. Insya Allah doakan kami berdua,” katanya bakal disatukan dengan penyanyi dan pengacara, Harris Alif Jumaat ini.
Sementara itu, dalam kesibukan, Intan juga turut meluangkan masa mengunjungi dan menghulurkan sumbangan kepada komuniti ibu tunggal yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Inisiatif itu dilakukan Intan atau nama sebenarnya, Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, bersempena menzahirkan rasa syukur atas pelantikan beliau sebagai duta produk kesihatan dan kecantikan, Seri Lady.
“Dalam rezeki saya ada rezeki orang lain. Siapa sangka dalam kesibukan kerja dan membuat persiapan perkahwinan, saya dilamar pula menjadi duta produk Seri Lady. Jadi saya terfikir apa salahnya jika infaqkan sedikit rezeki yang Allah SWT beri untuk dikongsi bersama golongan yang memerlukan. Semoga kehidupan dan perkahwinan saya memperoleh keberkatan.
“Inilah yang membuatkan saya dan pihak Seri Lady terpanggil untuk memberi sumbangan berupa produk dan wang tunai untuk komuniti ibu tunggal yang terpilih. Mereka ini antara yang terjejas akibat pandemik Covid-19,”kongsinya.
Turut dibesarkan seorang ibu tunggal, jelas Intan dia turut merasai sendiri kepayahan yang dilalui golongan ini.
“Saya sendiri dibesarkan oleh seorang ibu tunggal. Saya nampak macam mana kesusahan ibu untuk membesarkan kami tiga beradik. Bagaimana ibu bahagikan masa untuk keluarga dan pada masa sama bekerja demi kelangsungan hidup. Jadi saya faham masalah yang dihadapi oleh kebanyakan ibu tunggal. Di kesempatan ini saya cuba untuk membantu mereka sedikit sebanyak yang mampu,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas Seri Lady, Puan Juzailah Shariff, turut melihat usaha Intan ini seharusnya diberi sokongan dalam menghargai peranan ibu tunggal dalam masyarakat.
“Kalau bukan kerana Covid-19 pun, kehidupan ibu tunggal sememangnya sudah cukup mencabar dalam memegang peranan ibu dan ayah untuk membesarkan anak-anak. Apa lagi dalam keadaan sekarang ini, hilang punca pendapatan. Justeru itu kami amat berbesar hati dapat memberi sedikit sumbangan kepada mereka.
“Saya juga ingin ucapkan tahniah kepada Intan di atas pelantikan sebagai duta Seri Lady. Orangnya cantik, personaliti juga menyenangkan dan bebas gosip, membuatkan saya yakin Intan mampu menggalas tugas beliau dengan baik,” katanya.