Ibu teruja sekolah buka, anak daftar tahun satu - Utusan Malaysia

Ibu teruja sekolah buka, anak daftar tahun satu

MEMBELI kelengkapan sekolah menjadi rutin ibu bapa dan anak-anak menjelang pembukaan sesi persekolahan. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibu bapa terutama yang memiliki anak bakal memasuki tahun satu teruja dan tidak sabar menunggu tarikh 1 Mac ini setelah kerajaan melalui Kementerian Pendidikan mengumumkan pembukaan semula sekolah.

Pekerja swasta, Norshikin Mohd. Salleh, 38, berkata, langkah itu dilihat penting bagi memastikan proses pembelajaran kanak-kanak pada usia muda dapat diteruskan.

“Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah, pastinya ia satu perkara yang positif dan saya menyambut baik keputusan ini.

“Apatah lagi saya mempunyai seorang anak yang memasuki tahun satu tahun ini. Pastinya keterujaan itu bukan sahaja dirasakan oleh murid terbabit, tetapi ibu bapa mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Norshikin yang juga ibu kepada tiga anak berkata, dia pada masa sama tetap berharap langkah pencegahan pandemik Covid-19 diperkasa bagi memastikan tidak berlaku penularan dalam kalangan murid dan pelajar sekolah.

“Sebagai langkah tambahan, saya memastikan kesemua anak-anak saya mengambil suntikan influenza bagi meningkatkan tahap imunisasi badan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Norhanis Mohammad, 35, turut berkongsi pendapat sama bahawa sesi pembelajaran secara bersemuka adalah kaedah pembelajaran lebih berkesan.

“Kaedah pembelajaran dua hala ini diyakini dapat mencapai matlamat memberi pendidikan kepada anak-anak walaupun negara sedang berdepan cabaran pandemik Covid-19.

“Ini kerana pendidikan adalah aspek yang penting dan hak generasi muda untuk mendapatkannya walaupun dalam situasi keadaan semasa,” katanya yang memiliki empat anak dengan tiga daripadanya sedang bersekolah.

Sesi persekolahan bagi tahun satu dan dua bermula 1 Mac ini manakala murid tahun tiga hingga enam akan pada 8 Mac sebelum diikuti sekolah menengah pada bulan April. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya