Hasrat mahu beli motosikal baharu tidak kesampaian - Utusan Malaysia

Hasrat mahu beli motosikal baharu tidak kesampaian

HASMAWIYAH Ramli menunjukkan gambar Muhamad Haiqal Faiz Shaffre yang meninggal dunia dalam kemalangan di Bulatan Perbandaran berdekatan Balai Bomba Nilai, Nilai Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penghantar makanan Food Panda yang maut dalam kemalangan di Bulatan Perbandaran berdekatan Balai Bomba Nilai, Nilai dekat sini, malam kelmarin sedang mengumpul wang untuk membeli sebuah motosikal baharu.

Ibu mangsa, Hasmawiyah Ramli, 44, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham Muhamad Haiqal Faiz Shaffre, 19, adalah ketika anaknya itu pulang ke rumah di Taman Desa Indah, dekat sini untuk makan tengah hari.

“Arwah tidak menunjukkan sebarang petanda namun dia tidak banyak bercakap dan terus bersiap untuk bekerja.

“Biasanya sebelum keluar, dia memaklumkan kepada saya namun dia terus bergegas. Dia suka tersenyum dan sentiasa ceria, kawan-kawan dia pun ada memberitahu dia mudah senyum,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Tanah Perkuburan Kota Seriemas, Nilai, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab Rahman berkata, dalam kejadian pukul 9.10 malam itu, Muhamad Haiqal Faiz mengalami kecederaan di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Bandar Baru Nilai menuju ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Apabila sampai di tempat kejadian, dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok bahagian tengah bulatan dan jatuh di atas jalan,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian yang menimpa Muhamad Haiqal Faiz kelmarin, adalah kejadian hari kedua berturut-turut selepas seorang lagi penghantar makanan syarikat yang sama iaitu, Muhamad Azman Abdul Aziz, 30, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah kereta dipandu warga emas dalam kejadian di simpang tiga, Jalan AST 6, dekat sini pada malam Rabu lalu.

Menurut Hasmawiyah, sebelum ini, anaknya itu bekerja di sebuah restoran di Seremban 3 dan mula bekerja sebagai penghantar Food Panda kerana mahu mengumpul duit membeli sebuah motor.

“Arwah ada memaklumkan kepada saya dia mahu mengumpul duit kerana hendak membeli sebuah motor jenis Sport 250,” katanya.

Sementara itu, bekas majikan mangsa, iaitu pemilik Restoran Omak’s Cooking, Iqwan Ashriq Kamaru, 35, berkata, Allahyarham Muhamad Haiqal sudah bekerja dengannya selama satu tahun enam bulan.

“Kali terakhir kami berjumpa dia ada memaklumkan mahu datang rumah saya namun dia beritahu agak sibuk kerana melakukan dua syif untuk mencari duit. Dia memang pandai cari duit dan seorang yang kuat bekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya