Hadiah Tahun Baharu Cina istimewa dari Ebit Liew - Utusan Malaysia

Hadiah Tahun Baharu Cina istimewa dari Ebit Liew

KOH Kim Keok bersama Ebit Liew menaiki kereta baharu sumbangan penceramah itu di Kota Bharu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebuah kereta Myvi terpakai berharga RM15,000, peranti tablet untuk kegunaan anak-anak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta dibayarkan sewa rumah setiap bulan.

Demikian ‘hadiah’ sempena Tahun Baharu Cina diterima ibu tunggal Koh Kim Keok selepas kisah keluarganya tidak dapat meneruskan tradisi makan besar kerana kesempitan hidup selain terpisah dengan anak-anak akibat Covid-19 dipaparkan akhbar ini, dua hari lalu.

Ia adalah sumbangan usahawan dan pendakwah terkenal, Ebit Liew ketika menjenguk keluarga itu petang semalam.

Kim Keok, 48, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sireh Bawah Lembah, di sini, memberitahu, dia tidak menyangka kisah keluarganya mendapat perhatian pendakwah Islam itu biarpun mereka berbeza agama.

“Walaupun saya bukan Islam, beliau tetap mahu membantu kami keluarga yang kini hidup susah selepas kematian mendiang suami beberapa tahun lalu. Saya bersyukur dan memang tidak terbalas budi beliau ini,” katanya.

Kim Keok berkata, Ebit Liew juga bersetuju membantu melunaskan yuran pengajian salah seorang anaknya, Nur Aisyah Ong Abdullah, 21 dalam bidang kejururawatan yang tergendala kerana kemiskinan keluarga sebelum ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kehidupan penuh harmoni Kim Keok bersama lapan anaknya biarpun empat daripada mereka sudah memeluk Islam, akhirnya terjejas gara-gara penularan pandemik Covid-19.

Mereka tidak dapat makan besar pada Tahun Baharu Cina kali ini kerana Kim Keok tidak dapat bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain dua anaknya yang merantau mencari rezeki di Singapura masih terkandas di sana.

Selepas suami, Ong Ban Awan meninggal dunia 11 tahun lalu akibat masalah hati bengkak, Kim Keok membesarkan anak-anak seorang diri dengan tiga daripada mereka berusia 13 hingga 17 tahun masih bersekolah.

Dia sebelum ini bekerja sebagai pembantu di kedai makan dengan gaji harian antara RM20 hingga RM30 sehari.

Empat anak Kim Keok yang memeluk Islam ialah Muhammad Adam Haikal Ong, 26, dan Muhammad Danish Ong, 23 yang kini berada di Singapura serta Nur Hidayah Ong, 24, dan Nur Aisyah Ong, 21, yang kini tinggal bersamanya di kampung. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya