GEORGETOWN: Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) atau lebih dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang boleh digunakan sebagai laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan ke bahagian seberang atau pulau negeri ini.
Jambatan Kedua Sdn Bhd. (JKSB) dalam kenyataan memaklumkan, JSAHMS bertindak sebagai laluan alternatif untuk ke bahagian utama pulau seperti di Batu Maung, Bayan Lepas dan Georgetown serta menyediakan lapan lorong yang merangkumi perkhidmatan Smart Tag, Touch n Go dan RFID.
Kata kenyataan itu, dengan kadar tol hanya RM 5.74 (untuk kelas 1 sahaja; kenderaan persendirian atau penumpang), JSAHMS adalah pilihan untuk para pengguna keluar masuk ke bahagian pulau.
“JSAHMS menghubungkan secara terus Batu Kawan kepada bahagian utama pulau dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.
“Para pengguna akan sampai ke kawasan itu dengan lebih mudah tanpa perlu menempuh kesesakan yang serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jambatan Pulau Pinang atau jambatan pertama sejak kelmarin mengalami kesesakan luar biasa ekoran kejadian kebakaran kabel yang turut menyebabkan asap keluar menerusi jeriji besi di tengah jalan kira-kira pukul 4 petang.
Kenyataan itu memaklumkan, meskipun JSAHMS terletak lebih jauh daripada mod lintasan lain, jika dipertimbangkan dari segi kesenangan para pengguna, ia adalah alternatif terbaik.
“Mempunyai kepanjangan 16.9 kilometer di atas laut, akses yang mudah untuk ke JSAHMS dari Batu Kawan atau Lebuh Raya Utara Selatan adalah dengan mengikuti susur keluar atau Exit 1 57: E28 Persimpangan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
“JSAHMS turut mempunyai laluan khas untuk motosikal dan tiada larangan masa bagi kenderaan berat untuk menggunakan JSAHMS,” katanya. – UTUSAN ONLINE