IPOH: Gua Matsoorat yang terletak berhampiran Gunung Lang, dekat ini bakal menjadi geotapak ke-19 dalam Geopark Lembah Kinta.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dalam merealisasikan usaha itu.
“Kita sudah ada 18 geotapak dalam Geopark Lembah Kinta, iaitu beberapa kawasan yang kita perakukan.
“Saya percaya usaha sedang dilakukan untuk membolehkan kawasan itu punya nilai-nilai dan ciri yang boleh dikategorikan sebagai satu lagi geotapak di Geopark Lembah Kinta ini.
“Itu satu lagi tarikan baharu sebab saya percaya dari masa ke masa kita mesti menambah baik untuk kawasan ini ditingkatkan terutama sekali kalau dapat penemuan geotapak baharu dan dari lawatan tadi pun kita nampak nilainya sangat tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke geotapak Gunung Lang Geopark Lembah Kinta, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi: Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh: Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pengarah JMG, Hisamuddin Termidi.
18 geotapak yang tersenarai di Geopark Lembah Kinta ketika ini adalah Gunung Panjang Gua Tambun, Gunung Datok, Gunung Rapat yang sebahagiannya adalah geotapak seperti Kek Lok Tong dan Sam Poh Tong, Lata Ulu Chepor, Gunung Kanthan, Gunung Lang, Hutan Lipur Ulu Kinta, Gunung Tasek, Mata Air Panas Lubuk Timah, Gua Naga Mas, Air Terjun Sungai Chelik, Jeram Papan, Gua Kandu, Gua Tempurung, jeram Sungai Kampar, Air Terjun Sungai Salu, Air Terjun Batu Berangkai dan Gunung Korbu.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, satu geopark iaitu Geopark Lenggong akan diisytiharkan sebagai geopark kedua Perak Julai ini.
“Komitmen kita juga tinggi untuk membolehkan kajian lebih lanjut dibuat kerana mengikut perancangan Geopark Lenggong akan diangkat sebagai geopark bertaraf global pada tahun 2025.
“Ini kerana ada ciri dan nilai tinggi Geopark Lenggong untuk diangkat sebagai geopark global dan ini akan melengkapkan lagi kawasan Lenggong yang sudah pun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya. – UTUSAN ONLINE