Golf dan beberapa aktiviti sukan lain dibenarkan MKN

Golf, beberapa sukan lain dibenarkan MKN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas program latihan berpusat pasukan dalam liga bola sepak, hoki dan sepak takraw dibenarkan, kini beberapa lagi aktiviti sukan termasuk golf dibuka mulai esok.

Namun, menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kebenaran itu masih lagi tertakluk kepada beberapa perkara ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antaranya joging, berjalan cepat, berbasikal dan senaman terhad kepada dua orang yang dibuat dalam kawasan kejiranan sahaja,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Juga ujarnya, aktiviti latihan kemahiran kendiri untuk bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw yang dilakukan secara berseorangan selain tenis, badminton dan ping pong.

Peserta itu katanya, turut dilarang berkongsi peralatan seperti raket atau bat dengan cuma 30 peratus individu berada dalam premis selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Penggunaan fasiliti sukan rekreasi komersial seperti pusat kecergasan, gelanggang atau dewan permainan, litar pemotoran dan padang golf hendaklah ditempah awal dan berjadual.

“Untuk gimnasium, jarak fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter badi aktiviti dinamik dengan jarak peralatan minimum dua meter,” tegas Ismail Sabri.

Peralatan dikongsi katanya, perlu dinyah kuman selepas habis penggunaan, malahan kelas latihan secara berkumpulan dan penggunaan bilik persalinan atau bilik mandi adalah dilarang.

Sementara SOP untuk golf, satu buggy hanya untuk seorang sahaja manakala kedi wajib memakai pelitup muka dan sarung tangan sepanjang masa selain tidak berkongsi peralatan.

Kemudahan rumah kelab golf juga dilarang bagi mengelakkan berinteraksi sosial, bersalaman atau bersentuhan, sebaliknya pemain perlu balik terus ke rumah selepas tamat permainan.

“Bilik mandi dan persalinan juga ditutup. Bagaimanapun sehingga kini, semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi lain yang melibatkan sentuhan masih lagi tidak dibenarkan,” jelas beliau lagi.

Keadaan itu tambahnya, setelah penilaian risiko dibuat pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal MKN meskipun ada permohonan bagi kelangsungan hidup industri sukan tanah air.

Kementerian Belia dan Sukan ujar Ismail Sabri, turut ada inisiatif mewujudkan Sukarelawan Gelembung Sukan Rakan Muda bagi tujuan pemantauan dan pematuhan SOP setiap pemain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya