KUALA LUMPUR: Penyertaan Gerakan bakal membuka lembaran baharu dalam lanskap politik negara khususnya gabungan Perikatan Nasional (PN) yang menerajui kerajaan hari ini.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, partinya menerima kedatangan Gerakan malah menyifatkan parti dipimpin Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai itu mengukuhkan lagi struktur PN.
“Dengan keahlian yang berbilang bangsa, penyertaan Gerakan dalam keluarga besar PN mencerminkan keterbukaan serta komitmen berterusan PN menerajui kepemimpinan negara yang berbilang kaum.
“Semoga penyertaan ini meluaskan lagi politik khidmat bakti PN dan memberikan impak lebih positif terhadap dasar-dasar PN membela rakyat serta memajukan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Gerakan memutuskan menyertai gabungan PN bersama parti-parti sehaluan lain dengan surat penerimaan kemasukannya diserahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dominic Lau.
PN yang terbentuk bukan melalui pilihan raya dan mandat rakyat selepas Langkah Sheraton pada 23 Februari tahun lalu ketika ini dianggotai Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) serta menjalin kerjasama dengan UMNO. – UTUSAN ONLINE