Geng Wan Tocang tumpas - Utusan Malaysia

Geng Wan Tocang tumpas

SEBAHAGIAN barangan yang dirampas dipercayai hasil kes pecah kenderaan oleh geng Wan Tocang. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kegiatan geng Wan Tocang yang aktif menyelongkar dan mencuri barang-barang disimpan di dalam kenderaan tumpas selepas empat suspek termasuk dalang utama diberkas, semalam.

Tangkapan suspek berusia 27 tahun sehingga 31 tahun itu menyelesaikan lapan kes pecah kenderaan yang dilaporkan sejak Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalang utama geng itu dikesan sepasukan Cawangan Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, ketika kejadian, suspek bagaimanapun cuba melarikan diri, namun dikejar dan berlaku pergelutan sebelum akhirnya diberkas polis kira-kira pukul 12.30 pagi di tepi jalan Taman Seri Duyong, di sini.

“Pasukan D4 bersama-sama anggota Balai Polis Kandang bmenahan suspek dan pemeriksaan beg silang dibawanya menemukan sebotol minyak wangi, sebuah telefon jenama Samsung dan dua resit jual beli telefon bimbit.

“Susulan tangkapan tersebut, kita menahan tiga lagi suspek lelaki berusia di bilik sebuah rumah sewa di Bukit Sebukor pada pukul 2.15 pagi,” katanya.

Hasil soal siasat, kesemua suspek mengakui aktif melakukan kegiatan menyelongkar kereta di kawasan Banda Hilir, Kandang dan Bukit Baru.

“Suspek menyasarkan kenderaan yang tidak berkunci dan diparkir di luar kawasan rumah atau lokasi jauh daripada pandangan orang ramai.

“Kegiatan itu dilakukan tanpa menggunakan sebarang peralatan khas dan mereka hanya membuka pintu untuk menyelongkar sebelum melarikan barang-barang berharga termasuk telefon bimbit, wang tunai, beg dan sebagainya,” jelasnya.

Ujarnya lagi, polis turut merampas pelbagai barangan beg, jam tangan, resit jual beli telefon, cermin mata dan kasut dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

Jelasnya, suspek dipercayai melakukan kegiatan tersebut bagi menampung perbelanjaan harian dan membeli dadah.

“Semakan lanjut dalang geng dikenali sebagai Wan Tocang ini mempunyai tiga rekod jenayah samun, satu kes curi dan tujuh melibatkan dadah.

“Kesemua suspek kini direman empat hari bermula 27 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Afzanizar turut menasihatkan orang ramai agar memastikan kenderaan masing-masing dikunci dengan selamat sebelum ditinggalkan agar tidak membuka ruang kepada jenayah pecah kenderaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya