Geng ibu tunggal melacur melalui MiChat - Utusan Malaysia

Geng ibu tunggal melacur melalui MiChat

SALAH satu lokasi yang diserbu polis kerana dipercayai menjadi pusat operasi sindiket pelacuran di Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sindiket pelacuran mempergunakan lima wanita tempatan dipercayai golongan ibu tunggal melalui aplikasi MiChat terbongkar selepas polis membuat serbuan di dua rumah di Kubang Kerian, di sini semalam.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menerusi Op Noda antara pukul 3 hingga 5 petang.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, dalam serbuan itu, polis menahan sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki Myanmar dan lima wanita tempatan dengan kesemua suspek berusia 22 hingga 60 tahun.

Katanya, siasatan mendapati, salah seorang daripada lelaki tempatan itu dipercayai terlibat dengan urusan aktiviti pelacuran yang berperanan mengurus dan mendapatkan pelanggan melalui aplikasi MiChat.

“Sindiket ini menggunakan nama saluran ‘Adik Sayang Abang Sayang’ melalui aplikasi MiChat. Mereka juga beroperasi 24 jam sehari untuk menerima pelanggan.

“Pelanggan juga dipercayai membayar sebanyak RM250 hingga RM300 untuk mendapatkan perkhidmatan pelacur daripada golongan ibu tunggal. Selain itu, orang tengah yang menguruskan kegiatan itu pula menerima upah sebanyak RM100 untuk seorang pelacur,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Shafien, dalam operasi itu, polis merampas barang kes yang digunakan untuk aktiviti pelacuran iaitu satu buku log yang mengandungi catatan sewaan bilik, tujuh keping kondom dan lapan unit telefon pintar.

Katanya, polis turut merampas satu kunci bilik, sebotol minyak urut, dua keping kondom yang sudah digunakan dan wang tunai berjumlah RM 1,917.

“Siasatan mendapati, sindiket itu dipercayai terlibat dengan kegiatan pelacuran menggunakan aplikasi MiChat yang berpangkalan di rumah itu sejak tiga bulan lalu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pelacur akan datang ke rumah itu selepas orang tengah menguruskan urusan dengan pelanggan. Selain itu, pelanggan juga perlu membayar RM30 untuk menyewa sebuah bilik bagi aktiviti persundalan itu,” katanya.

Menurut beliau, semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan untuk disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan kerana hidup hasil daripada atau perdagangkan persundalan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mencari langganan bagi maksud persundalan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti pelacuran di Kelantan boleh hubungi Hotline Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-745 0999. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya