MERSING: Gajah betina mati ketika cuba melahirkan anaknya yang berada dalam keadaan menyongsang di Ladang Mados, Lenggor di sini semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, Perhilitan Daerah Mersing menerima maklumat daripada kakitangan ladang berkenaan.
“Tiga kakitangan Perhilitan Mersing bersama enam kakitangan Ladang Mados ke lokasi bagi memantau keadaan.
“Didapati seekor gajah betina sedang dalam proses melahirkan anak, bagaimanapun kira-kira pukul 5 petang gajah tersebut tidak lagi bergerak.
“Gajah berkenaan didapati mati disebabkan dystocia (obstructed labour),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salman berkata, hanya kaki anak gajah yang terkeluar ketika proses itu dan siasatan lanjut mengesahkan bahawa anak gajah tersebut berada dalam keadaan songsang.
“Perut gajah tersebut dibedah bagi menyelamatkan anak haiwan itu tetapi didapati ia juga sudah mati.
“Bangkai dua ekor gajah tersebut ditanam dengan bantuan pihak ladang,” katanya. – UTUSAN