PETALING JAYA: Format peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 kekal seperti sedia ada.
Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada rombakan terhadap peperiksaan itu sepertimana yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
“Laporan tersebut bukan sahaja menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai malah kepada calon peperiksaan SPM tahun 2020.
“Kami ingin menegaskan bahawa format peperiksaan SPM tahun 2020 adalah kekal seperti sedia ada dan tiada sebarang perubahan seperti yang dinyatakan dalam laporan tersebut,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, lembaga berkenaan tidak pernah membuat sebarang pengesahan berhubung perkara tersebut.
“Sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada format peperiksaan SPM dan sistem pentaksiran, Lembaga Peperiksaan akan memaklumkan secara rasmi kepada orang ramai,” katanya. – UTUSAN ONLINE