Empat pengedar dadah ditahan - Utusan Malaysia

Empat pengedar dadah ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kelicikan empat lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an mengedar dadah sejak setahun lalu berakhir apabila mereka ditahan polis, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua mereka diberkas sepasukan polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Aman, di sini kira-kira pukul 1 pagi.

“Sebanyak lima peket plastik lut sinar pelbagai saiz berisi dadah jenis syabu dirampas.

“Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta jenis Audi A5 bersama wang tunai RM1,870,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Kuala Kedah di sini, hari ini.

Katanya, keempat-empat individu terbabit didapati memiliki rekod lampau kes dadah selain positif dadah jenis methamphethamine.

“Mereka direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15(1)(a) akta sama,” ujarnya.

Sementara itu, katanya, seramai 166 individu ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan
di Kuala Kedah sejak 24 Januari lalu hingga semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 10 individu ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (2) ADB 1952 serta Seksyen 39A (1) akta sama.

“Selain itu, kita menahan 91 individu kerana disyaki terlibat dengan kesalahan berkaitan permintaan dan pemilikan dadah serta ketum.

“Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 15 (1) ADB 1952, Sekysen 12 (2) akta sama serta Akta Racun 1952.

Katanya, hampir 95 peratus daripada mereka yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti dadah tersebut bekerja sebagai nelayan.

“Mereka memberi alasan kononnya mengambil dadah untuk mendapatkan tenaga bagi bekerja di laut.

“Daripada keseluruhan tangkapan, terdapat kira-kira 15 individu ditahan berpotensi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) ADB 1952 kerana melakukan kesalahan berulang yang boleh menyebabkan mereka disebat jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya