Empat lelaki dituduh bunuh lelaki yang disimbah asid - Utusan Malaysia

Empat lelaki dituduh bunuh lelaki yang disimbah asid

SEBUAH van yang membawa empat tertuduh kes bunuh dan subahat membunuh seorang mualaf memasuki pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tuduhan bersubahat dan membunuh seorang lelaki yang disimbah asid di Jalan Pulai Impian, Sikamat dekat sini bulan lalu.

Dua tertuduh iaitu Mohd. Fitri Zan, 25, dan Mohd. Zairizan Zainal, 41, yang didakwa atas tuduhan membunuh mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mahyun Yusof.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan membunuh Tong Wai Sai, 43, di sebuah rumah di Jalan Pulai Impian 17, Pulai Villa, Sikamat di sini pada pukul 3 pagi, 23 Januari lalu.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, di mahkamah berasingan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan tertuduh ketiga Mohammad Hairul Fazley, 20, didakwa bersubahat membunuh Tong Wai Sai, 43, di lokasi dan masa yang sama.

Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V. Vanita.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama dan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendawa Raya, Hafizah Zainul Hashimi, manakala tertuduh Mohd. Fitri diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan Nabila Habib.

Mohd. Zairizan pula diwakili peguam, Grace Nathan dan Mohammad Hairul diwakili peguam Hasnan Hamzah.

Mahkamah kemudian memerintahkan kes tersebut disebut secara bersama pada 4 Mac ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki mualaf maut selepas enam hari mendapatkan rawatan di hospital akibat disimbah asid dalam kejadian dipercayai samun di rumahnya di Pulai Villa, Sikamat di sini pada 23 Januari lalu.

Polis telah menahan enam lelaki dan isteri mangsa bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya