DUNGUN: Empat sekeluarga nyaris maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh seekor tapir di Kilometer 344.9, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Paka di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu menyebabkan tapir jantan dewasa berkenaan mati di lokasi kejadian, bagaimanapun semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, empat sekeluarga yang dari Shah Alam, Selangor itu dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu untuk urusan perkahwinan anak mereka.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, tapir tersebut dikatakan tiba-tiba melintas dari arah kanan ke kiri jalan hingga menyebabkan pemandu Toyota Unser berusia 59 tahun itu tidak sempat mengelak.
“Akibat pelanggaran itu tapir mati dan kenderaan mangsa remuk di bahagian hadapan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, pemeriksaan mendapati tapir berkenaan mengalami kecederaan pada mulut dan badan.
Dia tidak menolak kemungkinan haiwan berkenaan keluar dari habitatnya untuk mencari makanan dan kejadian terbaharu itu menjadikan bilangan tapir maut dilanggar kenderaan di LPT2 kini dua kes.
“Pada 13 Februari lalu, seekor tapir betina turut mati dilanggar kenderaan dan saya menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan sentiasa peka terhadap papan tanda amaran haiwan liar melintas di lebuh raya,” katanya. – UTUSAN ONLINE