JOHOR BAHRU: Penceramah terkenal, Ebit Lew menggunakan wang sumbangan berjumlah RM200,000 yang diberikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membeli 500 unit gajet.
Pendakwah popular itu berkata, kesemua gajet berkenaan akan diagihkan kepada pelajar yang memerlukannya bagi menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Doakan ya. Terima kasih TMJ. Saya gunakan untuk beli 500 tab untuk 500 pelajar untuk (mereka mengikuti) kelas online.
“Syukur dah sampai. Hari ini kami akan agihkan pada yang memerlukan. Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dimuat naik dalam laman Facebook miliknya, hari ini.
Pada 5 Februari lalu, Tunku Mahkota Johor menerima kunjungan pendakwah popular itu di kediaman rasmi di Istana Bukit Pelangi, di sini.
Tunku Ismail turut menzahirkan rasa kagum dengan usaha Ebit Lew dalam menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan dari seluruh negara, termasuk di negeri ini.
Kata baginda, Ebit Lew sering menolong rakyat terutama golongan asnaf dan daif yang memerlukan bantuan dengan sumbangan dan usaha-usaha kebajikan.
“Antara aktiviti-aktiviti sumbangan yang paling saya kagumi adalah usaha beliau dalam membantu rakyat dengan peralatan perubatan, bekalan makanan dan barang keperluan asas.
“Saya juga telah memberi sumbangan kepada usaha kebajikan Ustaz Ebit Lew agar beliau dapat membantu lebih ramai lagi rakyat yang memerlukan,” kata baginda yang turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM200,000 dalam pertemuan itu. – UTUSAN ONLINE