DUNGUN: Polis menahan seorang duda yang disyaki pengedar dadah dan merampas bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai lebih RM22,000 di sebuah ladang sawit di Felda Kertih 3, Ketengah Jaya, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, suspek yang berusia 47 tahun yang merupakan penduduk tempatan itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Katanya, dadah yang dirampas ialah 33 botol serbuk putih dipercayai heroin seberat 0.1657 kilogram di samping dua paket syabu seberat 0.01 kilogram.
“Hasil risikan selama enam bulan dan maklumat orang awam, kita menahan suspek.
“Kita percaya suspek baru memperoleh bekalan itu untuk pasaran sekitar daerah ini bagi menampung permintaan 8,785 penagih,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun hari ini.
Baharudin berkata, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin di samping turut mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya, suspek direman selama enam hari hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, polis percaya suspek tidak melakukan aktiviti itu secara berseorangan dan pihaknya giat melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu lain atau rantaian pengedaran yang terlibat. – UTUSAN ONLINE