Dua pelajar ditipu peniaga online - Utusan Malaysia

Dua pelajar ditipu peniaga online

MOHD. WAZIR MOHD YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua pelajar di Temerloh dekat sini masing-masing kerugian RM3,400 dan RM700 selepas dipedaya peniaga dalam talian.

Dalam kes pertama, seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun melayari aplikasi membeli-belah dalam talian dan berminat membeli sebuah televisyen bersaiz 42 inci bernilai RM600.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa menghubungi peniaga tersebut melalui ruang sembang dalam aplikasi sama.

“Suspek memperkenalkan diri sebagai Syed Abu Bakar dan mendakwa mempunyai kedai di Bangsar, Kuala Lumpur. Suspek kemudian meminta mangsa berhubung dengannya melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa bersetuju membeli dan diminta membuat pembayaran penuh. Mangsa juga diminta membayar RM200 untuk menginsuranskan barang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Wazir berkata, suspek turut meminta bayaran cukai serta lain-lain caj yang keseluruhannya RM3,400 termasuk harga barang yang dibeli.

“Mangsa melakukan tujuh transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun berbeza dan selepas itu berasakan dirinya telah ditipu,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar lelaki berusia 20 tahun kerugian RM700 selepas melakukan pembelian kad grafik komputer secara dalam talian.

Katanya, mangsa yang melakukan pembayaran RM500 untuk pembelian kad grafik tersebut diminta melakukan pelbagai bayaran lain oleh suspek.

“Suspek menghubungi mangsa dan meminta bayaran tambahan RM200. Mangsa memasukkan wang ke dalam akaun diberikan suspek.

“Bagaimanapun, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan memaklumkan barang tersebut ditahan, lalu meminta bayaran RM300. Mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis,” katanya.

Kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Mentakab serta Balai Polis Kuala Krau semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya