KUALA LUMPUR: Dua lagi `rakan’ ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dituntut oleh Kerajaan Malaysia agar membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9.3 juta.
Dua individu tersebut ialah bekas pengarah 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan bekas pegawai undang-undang 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.
Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaku plaintif memfailkan saman terhadap seorang lagi sekutu Jho Low, Eric Tan Kim Loong dan menuntut lelaki berkenaan membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM67.9 juta.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, Keng Chee yang dinamakan sebagai defendan mempunyai tunggakan cukai pendapatan selama sembilan tahun bermula 2009 hingga 2019 sebanyak RM6,779,852.36 dan notis-notis taksiran termasuk taksiran tambahan telah dihantar ke alamat terakhir lelaki itu di Taman Sri Endah di sini.
Berdasarkan Akuan Terima Berdaftar (A.R), notis-notis tersebut telah diterima dan kad kuning A.R telah dikembalikan kepada plaintif. Bagaimanapun, defendan sehingga kini masih gagal membayar tunggakan tersebut.
Sementara itu, berdasarkan penyataan tuntutan terhadap Ai Swan yang juga dinamakan sebagai defendan, plaintif mendakwa wanita terbabit gagal membayar cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2012 dan 2014 termasuk Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM1,495,366.08 dan RM571,979.72.
Notis-notis taksiran itu telah dihantar ke alamat terakhir Ai Swan namun ia tidak pernah dikembalikan kepada plaintif.
Ekoran kegagalan wanita itu membayar tunggakan dalam masa yang ditetapkan, defendan telah dikenakan penalti dan kenaikan cukai sebanyak 10 peratus menjadikan jumlah tunggakan yang perlu dibayar ialah
RM2,496,133.05.
Selain menuntut RM9.3 juta daripada kedua-dua defendan, LHDN turut memohon faedah sebanyak lima peratus setahun dikenakan ke atas jumlah tunggakan masing-masing dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirakn sesuai oleh mahkamah.
Berdasarkan semakan, pengurusan kes bagi Keng Chee ditetapkan pada 8 Mac ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Maslinda Selamat manakala kes Ai Swan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Farah Shuhada Ramli pada 18 Februari ini. – UTUSAN ONLINE