MARANG: Keresahan seorang pesara guru dari Kampung Pengkalan Berangan, di sini yang berdepan kerugian hampir RM10,000 kerana sarang lebah kelulutnya sering dirosakkan beruang berakhir apabila haiwan liar itu ditangkap, hari ini.
Beruang matahari jantan seberat kira-kira 70 kilogram itu memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), kira-kira pukul 4 pagi.
Ali Yusof, 61, berkata, sebanyak 16 sarang lebah kelulut yang diusahakannya di belakang rumah rosak diserang haiwan liar itu sejak pertengahan bulan lalu.
“Saya lega ia sudah ditangkap, sebelum ini tidur saya tidak lena kerana bimbangkan sarang lebah kelulut di samping keselamatan ahli keluarga.
“Selain madu kelulut, beruang matahari itu turut merosakkan tanaman kelapa di kebun penduduk kampung dan selepas aduan dibuat pada 28 Januari lalu, Perhilitan bertindak pantas memasang perangkap,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof berkata, beruang matahari tersebut akan dihantar ke habitat baharu di Taman Negara Terengganu, Hulu Terengganu dalam masa terdekat.
Katanya, seekor lagi beruang sama seberat 80 kilogram turut ditangkap di Kampung Batu Tiong, Dungun kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
“Kita menangkap beruang matahari jantan itu dalam tempoh kurang 30 jam selepas perangkap dipasang pada 31 Januari lalu dan kini telah dibawa ke Taman Negara Terengganu untuk dilepaskan,” katanya. – UTUSAN ONLINE