Dua ahli majlis nyaris ditipu 'Datuk Bandar MBMB' - Utusan Malaysia

Dua ahli majlis nyaris ditipu ‘Datuk Bandar MBMB’

ABDUL AZIZ Jaafar (kiri) dan Abdul Jameel Abdul Jabar (kanan) menunjukan mesej yang diterima melalui aplikasi WhatsApp yang menyamar sebagai Datuk Bandar MBMB. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) nyaris ditipu hampir RM5,000 oleh penyamar yang menggunakan gambar profil Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu dengan meminta sejumlah wang melalui aplikasi WhatsApp.

Mangsa, Abdul Aziz Jaafar berkata, dia mendapat satu mesej daripada nombor telefon tidak dikenali kira-kira pukul 9.46 pagi, Rabu lalu.

Katanya, pada mula dia berasa pelik berikutan nombor telefon 011-1898 9012 yang menggunakan gambar profil Zainal itu tidak berada dalam rekod simpanan telefonnya.

“Saya ingatkan mungkin Datuk Bandar gunakan nombor telefon lain dan bila lihat gambar pada mulanya saya percaya mungkin ini nombor telefon bimbit baru Datuk. Individu itu menghantar mesej berbunyi, ‘Maaf ganggu. Busy ke pagi ini? Saya ingat nak minta tolong sikit kalau tak keberatan’.

“Saya balas dan cakap, ‘Boleh Datuk’. Kemudian orang yang tidak dikenali itu membalas, ‘Macam ini. Hajat nak pinjam kejap dalam RM4,900 kalau ada. Insya-Allah petang nanti sebelum Asar ganti balik. Ada baki payment (bayaran) dengan kedai perabot yang tak sempat bayar pagi ni,” katanya semalam.

Abdul Aziz menambah, dia langsung tidak mengesyaki apa-apa dan percaya itu adalah mesej daripada Zainal.

“Saya baca mesej itu dan beritahu, saya akan usahakan untuk masukkan wang yang diminta. Orang itu minta saya masukkan wang tersebut ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama sebuah kedai perabot, Chai Chin Fat,” jelasnya.

Bagaimanapun, terdetik dalam hatinya untuk menghubungi seorang rakannya dan bercerita mengenai perkara tersebut.

Susulan itu, rakannya memberitahu bahawa ia berkemungkinan adalah taktik scammer untuk menipu.

“Sejurus selepas itu saya terus menghubungi Datuk Bandar memaklumkan mengenai perkara tersebut. Datuk sangat terkejut dan menafikan sekeras-kerasnya nombor telefon tersebut dan tidak langsung meminta wang berjumlah RM4,900,” ujarnya.

Sejurus selepas itu, Abdul Aziz telah membuat laporan polis kira-kira pukul 10.30 pagi di Balai Polis Sungai Udang di sini.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, selepas Datuk Bandar MBMB menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagainya menerusi aplikasi WhatsApp, kini nama serta gambar profil Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pula disalah guna.

Pejabat Ketua Menteri Melaka meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tindakan penipuan yang menggunakan identiti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan ketika dihubungi berkata, polis sedang giat mengesan individu yang terlibat menerusi nombor telefon yang digunakan, termasuklah dalam kes penyamaran sebagai Ketua Menteri Melaka.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Abdul Jameel Abdul Jabar pula berkata, dia menerima mesej daripada nombor telefon yang sama kira-kira pukul 10.45 pagi.

“Saya pelik sebab gambar profil memang Datuk Bandar tetapi nombor telefon bimbit yang tertera berlainan daripada milik Zainal. Saya tidak balas mesej itu tetapi terus menghubungi Datuk Bandar dan memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Datuk sangat terkejut dan memberitahu itu adalah tindakan scammer. Saya disuruh untuk menghubungi semua Ahli Majlis MBMB memberi peringatan mengenai kejadian tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya