PETALING JAYA: Polis selesai menjalankan siasatan terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berhubung dakwaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika menghadiri satu majlis, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kertas siasatan berhubung kes itu dihantar ke Bukit Aman untuk tindakan seterusnya.
“Siasatan sudah lengkap dan kertas siasatan sudah dihantar ke Bukit Aman untuk arahan lanjut,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini.
Selasa lalu, Annuar dilaporkan memberi keterangan kepada polis selama beberapa jam namun tidak dinyatakan lokasi proses itu berlangsung.
Baru-baru ini, gambar Annuar bersama enam individu lain duduk di dua meja jamuan dan tular dalam media sosial.
Gambar itu dipercayai dirakam ketika Annuar menghadiri majlis Program Pertanian Bandar Wilayah Persekutuan di Kebun Komuniti Bandar, Persatuan Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia, Desa Petaling dekat sini.
Dalam pada itu, Saiful Azly berkata, siasatan ke atas anggota polis yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas seorang wanita semasa sekatan jalan raya di Jalan Duta dekat sini, sudah selesai.
“Kertas siasatan sudah lengkap dan dihantar ke Bukit Aman (minggu ini) untuk tindakan lanjut,” katanya.
13 Februari lalu, seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa diganggu secara seksual oleh anggota polis di SJR Jalan Duta ketika dalam perjalanan pulang dari Wangsa Maju ke Shah Alam, Selangor.
Selain itu, video pengakuan wanita berkenaan tular dalam media sosial dan menerima pelbagai reaksi dari netizen yang mahu tindakan segera diambil polis.
Wanita itu mendakwa, anggota polis berkenaan juga memintanya membuka baju tidur sebagai bukti dia tidak memakai coli selain turut mendakwa tidak akan disaman sekiranya dia menunjukkannnya. – UTUSAN ONLINE