Geng Ayoi Gombak guna hasil ragut buat pusingan modal niaga - Utusan Malaysia

Geng Ayoi Gombak guna hasil ragut buat pusingan modal niaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ‘Cuci’ duit hasil jenayah ragut dengan berniaga ayam goreng dan rokok elektronik atau vape di Gombak di sini.

Itu perbuatan dua ahli Geng Ayoi Gombak bagi melindungi kegiatan mereka sejak 2018.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila polis menahan dua lelaki berusia 31 tahun dan 35 tahun kira-kira pukul 9 malam pada 26 Januari lalu di Gombak.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek meronda di sekitar ibu negara dengan menyasarkan mereka yang memakai barangan kemas sebelum meragut mangsa.

“Hasil jenayah suspek mampu mencecah RM50,000 hingga RM60,000 sebulan dan dipercayai digunakan untuk pusingan modal dalam perniagaan itu bagi mengaburi mata orang ramai

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek masing-masing menjalankan perniagaan ayam goreng dan vape di Gombak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dekat sini semalam.

Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata, pihaknya turut merampas empat buah motosikal, dua kenderaan jenis Honda FD dan Toyota Vellfire selain beberapa keping nombor plat.

Ujarnya, polis percaya kenderaan mewah yang dimiliki suspek adalah duit hasil kegiatan mereka.

“Siasatan masih dijalankan untuk memburu dua lagi suspek termasuk seorang lelaki dikenali sebagai Angah yang berperanan sebagai pembeli emas daripada geng terbabit.

“Dengan tertumpasnya geng ini, polis berjaya menyelesaikan 300 kes di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Seksyen 4 Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya