JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah berdepan detik cemas apabila mendapati dua anaknya terperangkap dalam kereta Proton Saga FLX di hadapan sebuah sekolah di Taman Mutiara Rini, Skudai, dekat sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Riduan Akhyar berkata, kejadian berlaku pada 5.52 petang ketika wanita itu mengambil seorang lagi anaknya di sekolah berhampiran.
Katanya, ibu mangsa meninggalkan dua kanak-kanak berusia satu dan tujuh tahun dalam keadaan enjin kereta masih hidup dan pendingin hawa pasang sementara dia keluar.
“Dipercayai anaknya yang berusia tujuh tahun mengunci kereta dari dalam sebelum tertidur.
“Selepas wanita itu kembali, dia cuba mengejutkan anaknya yang berusia tujuh tahun yang tertidur untuk membuka kunci pintu kereta namun tidak berhasil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Riduan berkata, sejurus selepas panggilan kecemasan diterima, dua jentera bersama 12 anggota yang diketuai Komander Operasi, Suriani Adenan ke lokasi kejadian.
Jelasnya, pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta terbabit sebelum kedua-dua mangsa diselamatkan.
Katanya, operasi itu ditamatkan pada pukul 6.03 petang. – UTUSAN ONLINE