BUTTERWORTH: Meskipun sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seorang pelajar di sini masih sempat mencuri masa berlumba haram bersama dua lagi rakannya di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas, di sini malam tadi.
Akibatnya, ketiga-tiga mereka yang berusia 14, 16 dan 18 tahun itu ditahan polis dalam Op Samseng Jalanan yang diadakan selama lima jam berakhir pukul 11 malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mereka didapati menunggang secara berbahaya dari Jalan Lahar Kepar ke Kepala Batas sebelum berpatah semula selepas membuat satu pusingan dengan motosikal masing-masing.
“Mereka didapati membuat aksi ‘wheelie’ dan menunggang sambil melakukan aksi berbahaya di jalan kampung berkenaan.
“Siasatan polis mendapati mereka masih bersekolah di tingkatan tiga dan empat serta seorang sedang menduduki peperiksaan SPM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE