Bukan mahu sekat kebebasan rakyat - Perdana Menteri

Bukan mahu sekat kebebasan rakyat – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini disambut dalam suasana norma baharu memandangkan negara masih berdepan dengan penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam suasana pandemik ini, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama turut menyambut perayaan masing-masing dalam suasana yang lebih berhati-hati.

Untuk itu, kata beliau, kerajaan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk memastikan perayaan disambut dalam keadaan selamat termasuklah sekatan rentas negeri dan daerah yang menyebabkan ramai tidak dapat pulang ke kampung halaman atau berjumpa keluarga masing-masing. 

Namun, Perdana Menteri berkata, sekatan yang dilaksanakan itu bukan untuk menyekat kebebasan rakyat, tetapi demi kebaikan bersama bagi melindungi nyawa, terutamanya ahli keluarga yang disayangi. 

“Ini penting kerana keutamaan kita semua pada masa ini ialah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dan melindungi nyawa rakyat. 

“Di sebalik kekangan ini, saya percaya sambutan Tahun Baharu Cina masih dapat disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Tradisi makan besar yang menjadi amalan masyarakat Cina pada malam sebelum hari pertama perayaan masih dapat diraikan dengan penuh bermakna bersama ahli keluarga,” katanya menerusi rakaman video yang disiarkan menerusi Facebook beliau hari ini. 

Muhyiddin berkata, mengambil kira kepentingan tradisi makan besar itu, kerajaan telah pun memberi sedikit kelonggaran iaitu dengan membenarkan ahli keluarga yang tinggal berdekatan, tidak melebihi 15 orang menghadirinya pada malam sebelum Tahun Baharu Cina. 

Katanya, aktiviti keagamaan di tempat-tempat ibadat masyarakat Cina juga dibenarkan mengikut SOP yang telah ditetapkan. 

Apa yang penting, kata Perdana Menteri, setiap orang perlu terus mengamalkan kawalan kendiri pada setiap masa dan lindungi ahli keluarga jika ada golongan berisiko tinggi.

“Bagi ahli keluarga yang tinggal berjauhan atau pelajar yang terpaksa berada di kampus universiti atau kolej, saudara dan saudari bolehlah memanfaatkan teknologi yang ada pada hari ini, dengan membuat  panggilan video untuk melepaskan kerinduan terhadap ahli keluarga dan sahabat handai yang jauh di mata,” katanya.

Perdana Menteri pada masa sama berharap sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini akan membawa kebahagiaan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia. 

Katanya, jadikanlah perayaan ini sebagai sumber kekayaan budaya dan adat resam rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, serta titik pengukuhan sikap saling menghormati. 

“Perayaan ini yang akan disambut esok menjadi bukti sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Kita perlu mengekalkan kekuatan ini yang merupakan salah satu teras utama perpaduan negara yang kita cintai ini. 

“Saya berharap sambutan ‘Year of the Ox’ ini akan meningkatkan semangat dan memberi kekuatan baharu kepada kita dalam meneruskan usaha untuk bersama-sama memutuskan rantaian wabak Covid-19 dan seterusnya memulihkan ekonomi negara. Semoga kita dapat kembali mengecapi kemakmuran bersama!” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya