Buka sekolah beri kelegaan pelajar - Utusan Malaysia

Buka sekolah beri kelegaan pelajar

KHALID AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pembukaan sekolah secara berperingkat memberi kelegaan kepada pelajar terutama yang mengalami kesukaran mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau, Khalid Ahmad berkata, kebanyakan pelajar khususnya di kawasan luar bandar sebelum ini berdepan pelbagai kesukaran serta kekangan belajar secara dalam talian.

Katanya, selain masalah kemudahan peranti seperti komputer riba dan telefon pintar, kebanyakan kawasan luar bandar ini juga mempunyai masalah capaian internet yang lemah sekali gus menyukarkan proses pembelajaran secara dalam talian ini.

“Pembukaan sekolah pastinya akan memberi kelegaan kepada para pelajar khususnya di kawasan-kawasan kampung ini yang lebih selesa belajar secara bersemuka bersama guru di sekolah.

“Meskipun diakui rata-rata ibu bapa sudah berhabis banyak duit bagi menyediakan peranti seperti komputer riba atau telefon pintar untuk proses PdPR anak-anak mereka namun peranti tersebut sebenarnya masih menjadi keperluan pada masa akan datang.

“Apa yang penting mengenai keselesaan anak-anak untuk belajar dan melalui kaedah pembelajaran secara bersemuka di sekolah dilihat menjadi kemahuan pada pelajar khususnya dari kawasan luar bandar ini,” katanya yang juga bekas Ahli Dewan Negara kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Semalam, Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mengumumkan murid Prasekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 Sekolah Rendah bersekolah pada 1 Mac ini manakala Tahun 3, Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 pula akan bersekolah bermula pada 8 Mac 2021.

Bagi sekolah menengah pula, ia terbahagi kepada dua kumpulan iaitu sesi persekolahan Kumpulan A akan bermula pada 4 April dan 5 April 2021 bagi Kumpulan B.

Sementara itu, Khalid berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu diberi keutamaan apabila sesi persekolahan dibuka tidak lama lagi.

“Apa yang penting patuhi SOP dengan penjarakan sosial di dalam-dalam kelas ini juga perlu diberikan perhatian. Mungkin, meja-meja antara pelajar dijarakkan mengikut kesesuaian jumlah pelajar dalam satu-satu kelas itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN