KUALA LUMPUR: Majlis Rundingan Pelajar Kebangsaan menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan satu aplikasi sosial yang kemungkinan besar menyumbang kepada keruntuhan moral penuntut universiti di negara ini.
Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd. Sabri, 25, berharap semua pihak memandang serius perkara itu kerana jika dibiarkan kebejatan moral dalam kalangan mahasiswa menjadi lebih buruk.
“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi ingin membuka mata semua pihak berwajib agar dapat memikirkan solusi berkesan untuk mengurangkan kegiatan sebegini dalam kalangan mahasiswa.
“Saya juga memohon kepada mahasiswa yang mempunyai masalah terutama daripada segi kewangan untuk terus menghubungi institusi pengajian tinggi (IPT) masing-masing terutama jika berkaitan dengan meneruskan pembelajaran.
“Saya percaya setiap IPT di negara kita akan terus membantu mahasiswa yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan menerusi data yang diperoleh daripada aplikasi itu mendedahkan Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi di Asia bagi jumlah ‘sugardaddy’.
Aplikasi itu menyedia ruang bagi pengguna terutama golongan wanita untuk dijadikan perempuan simpanan atau ‘sugarbaby’.
Dilaporkan, sejumlah 12,705 penuntut universiti awam dan swasta di Lembah Klang mendaftar dengan aplikasi tersebut untuk mencari ‘sugardaddy’ mereka. – UTUSAN ONLINE