PASIR MAS: Usia baru 11 tahun, namun Nurul Farisha Mohd. Ridzuan dari Binjal Pulau, Kubang Terap di sini terpaksa matang lebih awal bagi menggalas tugas seorang ‘ibu’ kepada tiga adiknya.
Dia bukan sekadar mengasuh Muhammad Faisal, 6; Muhammad Fakhrul Rizal, 3, serta Muhammad Faiz Farhan, 1, dengan bantuan abang sulung, Muhammad Faris Abdullah, 12, malah tidak kekok memasak dan menguruskan makan-minum mereka setiap hari.
Lima beradik itu tinggal bersama datuk dan nenek selepas ibu bapa mereka menjalani hukuman penjara sejak tahun lalu kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Ketika ditemui pemberita semalam, Nurul Farisha berkata, dia memulakan tugas sebagai ‘suri rumah’ pada pukul 9 pagi setiap hari sebaik neneknya, Hasiah Wan Aziz, 56, keluar berniaga minyak gosok.
Datuk kepada adik beradik itu, Fauzi Ismail, 63, tinggal di rumah kerana menghidap asma kronik
“Neneklah orang mencari rezeki untuk membesarkan kami lima beradik dengan bantuan datuk, saudara-mara serta jiran-jiran
“Mujur masih ada datuk dan nenek, dapatlah kami menumpang kasih sementara menunggu ayah dan ibu dibebaskan,” kata Nurul Farisha yang petah berkata-kata.
Terdahulu, kisah lima beradik itu tular di media sosial selepas dimuat naik pemilik akaun Facebook bernama Raja Anita Raja Mukhtar yang menyampaikan sumbangan susu serta bantuan kewangan kepada keluarga itu.
Dalam pada itu, Nurul Farisha berkata, disebabkan datuk dan nenek mereka tidak mampu membeli tong gas, dia memasak menggunakan dapur kayu setiap hari.
Untuk jimat, kanak-kanak itu juga menggunakan susu pekat manis bagi menggantikan susu tepung untuk diberikan kepada adik bongsunya, Muhammad Faiz Farhan.
Lima beradik malang itu sebelum ini menetap di Seremban, Negeri Sembilan dan pulang ke Kelantan tahun lalu selepas ibu bapa mereka dihukum penjara dua tahun.
Nurul Farisha dan Muhammad Faris A tidak lagi bersekolah.
“Sekarang sudah hampir dua tahun kami tidak pergi sekolah. Saya buta huruf tetapi abang boleh membaca dan menulis,” kata Nurul Farisha.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, nasib keluarga itu dalam perhatian pihaknya yang segera menghulurkan bantuan kepada mereka.
“Buat masa ini kita tunggu laporan penuh daripada penghulu kampung tersebut untuk membuat tindakan susulan termasuk berusaha memastikan dua kanak-kanak itu kembali bersekolah,” katanya.- UTUSAN