PETALING JAYA: Hanya kerana mahu meminta simpati, seorang lelaki warga Uzbekistan sanggup membuat laporan palsu konon dirinya diperas anggota polis sehingga menyebabkan dia kerugian RM8,000.
Bagaimanapun, tindakan lelaki itu hanya mengundang padah apabila siasatan polis mendapati suspek telah berbohong dan menyebabkan dia ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek berusia 37 tahun itu pada mulanya membuat laporan polis pada 25 Februari lalu berkaitan kes pemerasan oleh anggota unit peronda polis (MPV).
Menurutnya, lelaki itu memberitahu kejadian berlaku di tepi Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara, dan mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM8,000.
“Susulan itu, satu serbuan dijalankan pukul 8.33 malam tadi di Jalan Selangor, Off Jalan Travers dan merampas salinan laporan polis serta barangan lain.
“Siasatan lanjut terhadap suspek mendapati keterangan yang diberikan adalah tidak konsisten,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Anuar, semakan terhadap akaun miliknya mendapati tiada transaksi pengeluaran wang pada tarikh 21 Februari lalu seperti yang didakwa.
“Dia mengaku membuat laporan palsu dengan mereka cerita satu kejadian yang tidak wujud kerana wang yang dipinjam daripada majikan tercicir.
“Dia membuat laporan polis agar mendapat simpati daripada pihak majikan bagi mendapatkan pinjaman wang untuk kali kedua,” jelasnya.
Sehubungan itu, kata Anuar kes dirujuk ke Pejabat Peguam Negara Kuala Lumpur dengan cadangan pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Orang awam dinasihatkan supaya tidak sesekali membuat laporan palsu ataumemberikan keterangan palsu kepada pihak Polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE