Boleh memancing, sekolah memandu tapi SOP ketat

Boleh memancing, sekolah memandu tapi SOP ketat

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kaki pancing di seluruh negara boleh menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju untuk membuka semula aktiviti rekreasi tersebut yang berkuat kuasa mulai esok.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun langkah kebenaran itu masih lagi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang agak ketat.

“Atas penilaian risiko daripada Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju memancing perikanan rekreasi dibolehkan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Selain rayuan daripada pihak berkaitan aktiviti itu, beliau menjelaskan, ia juga dibuka kembali kerana MKN berpuas hati dengan data mengenai tiada kluster kegiatan berkenaan selama ini.

Sebelum itu, pada 5 Februari lalu, Jabatan Perikanan (DOF) mengesahkan aktiviti memancing bagi tujuan sara hidup termasuk kalangan individu bukan bekerja nelayan adalah dibenarkan.

Pada ketika itu, kegiatan memancing yang bertujuan hobi masih lagi dilarang dan pihak DOF dilaporkan cuba berusaha merayu kepada MKN agar aktiviti sedemikian juga dibolehkan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pengusaha premis memancing komersial perlu daftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan DOF bagi tujuan kawal selia operasi premis.

“Ini meliputi kolam pancing, rumah bot, pelantar pancing dan rumah rakit, manakala bot dan kapal pula kena ada lesen dengan tempoh yang sah dari Jabatan Laut dan DOF,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan, kelonggaran kali ini dibuat setelah kerajaan mengambil kira rayuan pengusaha terbabit yang terjejas teruk dan hilang pendapatan mereka apabila dilarang buka.

Namun tegasnya, premis kolam itu hanya boleh beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 10 malam sahaja dengan kerja sanitasi dibuat setiap dua jam dan jarak pemancing minimum dua meter.

Untuk aktiviti memancing rekreasi dari bot, pelantar atau rakit, kapasiti pemancing termasuk jurumudinya tambah beliau, tidak boleh melebihi 50 peratus daripada had muatan penuh asal.

“Bagaimanapun kegiatan berbentuk pertandingan atau pesta memancing belum dibenarkan lagi dan senarai SOP yang lengkap bolehlah rujuk laman sesawang rasmi MKN,” katanya.

Menyentuh institut memandu dan pusat latihan penerbangan, Kementerian Pengangkutan ujarnya sudah membentangkan cadangan SOP dan diterima kerajaan untuk dibuka semula.

Bagi institut memandu kata Ismail Sabri, ia meliputi khidmat latihan pemanduan, kurikulum pendidikan pemandu, pra ujian, ujian teori dan praktikal sama ada di litar ujian atau jalan raya.

Waktu operasi dibenarkan antara 7.30 pagi hingga 8.30 malam dengan SOP yang ditetapkan antaranya pemakaian pelitup muka oleh pengajar dan calon sepanjang dalam kenderaan.

“Sementara pusat latihan penerbangan, arahan merangkumi pentadbiran latihan berulang bagi operasi penerbangan awam dibenarkan untuk enam jenis pekerjaan sahaja,” kata beliau.

Ia meliputi juruterbang, jurutera penerbangan, pengawal trafik udara, kru kabin, kakitangan sekuriti dan pengendali bahan bahaya dengan pengajaran dan pembelajaran secara hibrid.

Semua bentuk pengajian boleh dilaksanakan dengan garis panduan pengurusan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan pelbagai organisasi latihan bertauliah.

“Jika perlu merentas negeri atau daerah, hendaklah ada surat kebenaran pergerakan tetapi dari/ke Semenanjung dan Sabah/Sarawak tertakluk garis panduan MKN negeri itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya