PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan membuka semula baki keseluruhan sektor perniagaan peruncitan yang ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bulan lalu.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu demi memastikan kelangsungan ekonomi para peniaga kecil yang terkesan teruk di seluruh negara.
“Kebenaran ini bermula pada esok namun pengusaha perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.
Beliau menambah, pembukaan semula itu termasuk kelonggaran pelanggan untuk makan dalam restorang berbanding sebelum ini secara berbungkus bawa balik atau penghantaran.
Senarai sektor dibenarkan itu boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Majlis Keselamatan Negara.
Ismail Sabri menambah, sekiranya ada perubahan dari semasa ke semasa terutama sektor yang tidak dinyatakan, senarai terkini itu akan diumumkan oleh kementerian berkenaan.
Beliau namun menegaskan, premis kelab malam, pub, disko dan pusat hiburan tidak pernah diberi kebenaran untuk beroperasi semula sejak pelaksanaan PKP 1.0 pada 18 Mac lalu. – UTUSAN ONLINE