ALOR SETAR: Bidaan nombor pendaftaran kenderaan KFC meraih hasil sebanyak RM2.02 juta yang melibatkan sebanyak 3,118 pembida sejak dibuka kepada orang ramai selama lima hari, bermula 13 Februari lepas.
Kutipan hasil bagi nombor pendaftaran yang sinonim dengan sebuah restoran makanan segera itu melepasi sasaran RM1 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini.
Pengarah JPJ Kedah, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, bidaan tertinggi adalah KFC 7 sebanyak RM52,000 diikuti dengan KFC 9 iaitu RM48,000.
“Nombor pendaftaran KFC ini mendapat tumpuan kerana sinonim dengan sesuatu yang kita biasa dengar. Kutipan ini termasuk jumlah belian resit melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid).
“Nombor tender bagi KFB yang dilaksanakan secara dalam talian pada 3 Disember hingga 7 Disember mengutip hasil sebanyak RM714,217 dengan bidaan tertinggi bagi KFB 1 sebanyak RM92,222,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JPJ Kedah di Suka Menanti, di sini hari ini.
Sebelum ini JPJ Kedah memperoleh lebih RM1.2 juta bagi bidaan siri nombor pendaftaran KFA yang sinonim dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sementara jualan tertinggi di Kedah setakat ini adalah bagi siri pendaftaran KEN yang mencecah RM4.8 juta.
Jelas beliau, bidaan melalui JPJeBID menawarkan ketelusan dengan transaksi pendaftaran sehingga pembayaran dibuat.
“Bila sistem bidaan dalam talian digunakan tujuan utama untuk pasti ketelusan kutipan hasil dan kita akan nampak perbezaan kutipan hasil,” katanya. – UTUSAN ONLINE