PASIR MAS : Dua lelaki yang cuba menyeludup syabu bernilai RM16.08 juta nekad meninggalkan dadah tersebut di tebing sungai dan lari ke negara jiran selepas kegiatan mereka dikesan anggota tentera yang sedang bertugas mengawal sempadan negara di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, anggota dari pasukan Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan menemukan dadah tersebut yang diisi dalam 10 guni hitam dengan berat keseluruhan 402 kilogram.
Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hassan berkata, terdahulu ketika sedang melakukan rondaan, anggota ATM telah terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Kedua-dua lelaki itu dilihat sedang menurunkan guni-guni hitam ke kawasan tebing sungai di negara ini.
“Sejurus melihat kehadiran anggota ATM, mereka bertindak meninggalkan guni-guni itu dan melarikan diri ke negara jiran menggunakan bot,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini.
Kata Zamsari, kes tersebut merupakan rampasan dadah terbesar yang direkodkan oleh ATM di kawasan penugasan Op Benteng di zon Kelantan Utara bagi tahun ini.
“ATM tidak menolak kemungkinan dadah yang cuba diseludup masuk itu untuk pasaran luar Kelantan.
“Rampasan ini memberikan impak signifikan terhadap kejayaan keseluruhan Op Benteng dalam memperkukuhkan lagi kawalan sempadan negara semasa dilanda pandemik Covid-19,” ujarnya. – UTUSAN