BUKIT MERTAJAM: Kira-kira tujuh tahun lalu, Shamsul Kamal Che Mat, 53, tidak pernah terfikir menjadikan perniagaan ayam goreng sebagai kerjaya keduanya.
Ketika itu, dia baru sahaja menamatkan perkhidmatannya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selepas 25 tahun menabur bakti untuk ibu pertiwi.
Memilih bidang kulinari sebagai kursus peralihan, Shamsul Kamal kemudian bertekad untuk terus mempelajari serta mendalami ilmu berkaitan penghasilan ayam goreng terbaik walaupun bermula dengan kosong.
Bermula dengan menghadiri kursus di kolej komuniti, bekas pegawai waran itu juga sanggup berguru tanpa gaji selama dua bulan dengan seorang pemuda di Kedah semata-mata untuk menguasai ilmu menghasilkan ayam goreng terbaik selain merebut apa sahaja peluang yang ada untuk meningkatkan kualiti ayam gorengnya.
Bapa kepada tujuh anak itu berkata, dia kini boleh berbangga apabila produk ayam gorengnya di bawah jenama Askarlicious menjadi bualan khususnya dalam kalangan penduduk setempat di sekitar Bukit Mertajam di sini sejak tiga tahun lalu.
“Saya sebenarnya bermula dengan menjual ayam hidup di sekitar Mengkuang Titi tidak jauh dari rumah saya.
“Namun, disebabkan keuntungannya tidak menentu dan terpaksa bergantung kepada harga pasaran semasa, saya kemudian memilih memberi tumpuan terhadap ayam goreng sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.
Selain ayam goreng yang kini dijual di Cafe Askarlicious di Kubang Semang, Shamsul Kamal turut menjual pelbagai produk berasaskan ayam goreng, burger, minuman serta set menu pilihan di restoran makanan segera.
Bermula pada harga serendah RM2 untuk salad coleslaw, Cafe Askarlicious yang dibuka mulai pukul 3.30 petang hampir setiap hari kecuali Isnin itu secara umumnya menawarkan harga minimum dengan kualiti premium pada setiap produknya.
Shamsul Kamal berkata, ketika ini, dia mampu meraih sekitar RM600 sehari secara purata meskipun berdepan saingan dengan beberapa penjual ayam goreng di sekitar kawasan itu.
“Apa yang penting ialah kita perlu terus berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada pelanggan selain cuba ‘memikat’ mereka dengan keunikan produk kita,” katanya yang kini memiliki empat pekerja di restoran berkenaan.
Bercakap mengenai perancangannya selepas ini, kata Shamsul Kamal, dia bercadang mempelbagaikan lagi menu atau produk di bawah jenama Askarlicious.
“Pada masa yang sama, saya juga berhasrat mewujudkan sebuah kawasan ‘parking’ khusus untuk pelanggan yang berkunjung dan makan di Cafe Askarlicious ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE