PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarakankan pengguna kediaman mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh cuaca agak panas ketika ini.
Menurut TNB, penggunaan elektrik mungkin meningkat akibat cuaca agak panas sehingga bulan depan, selain pengguna perlu mematuhi arahan duduk di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, Jabatan Meteorologi menjangkakan fasa akhir Monsun Timur Laut ketika ini akan berterusan sehingga pertengahan Mac, dengan taburan hujan yang rendah dan cuaca agak panas.
Untuk itu, jelas TNB, antara amalan penjimatan elektrik mudah yang boleh dilakukan pengguna termasuk:
* Tidak membiarkan pendingin hawa, kipas dan lampu terpasang dalam bilik kosong.
* Memakin suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.
* Memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).
* Menyenggara pendingin hawa dengan kerap.
* Pada waktu malam, hidupkan kipas bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik. Suhu bilik akan mencecah tahap selesa lebih cepat selepas beberapa jam pendingin hawa dipasang.
* Tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan.
* Memanfaatkan cuaca panas dengan menjemur pakaian berbanding menggunakan mesin pengering.
* Bagi penggunaan alat pemanas air, tekan suis air panas hanya apabila ingin digunakan dan tutup sejurus selesai.
“Untuk sejuta pengguna yang telah dipasang meter pintar, mereka mendapat kelebihan mengendalikan tenaga dengan efisien dan lebih baik. Ini kerana, meter pintar menghantar maklumat jumlah penggunaan elektrik bagi tempoh setengah jam, satu hari dan setiap bulan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambah TNB, menerusi maklumat penggunaan yang boleh dipantau melalui aplikasi dan portal myTNB, pengguna meter pintar boleh menyesuaikan amalan penggunaan peralatan elektrik mereka bagi mendapatkan penjimatan.
TNB turut menyarankan pengguna kediaman memanfaatkan program pemberian e-rebat sebanyak RM200 menerusi program Sustainability Achieved Via Energy (SAVE) 2.0 jika ingin membeli alat pendingin hawa atau peti sejuk cekap tenaga.
“E-rebat ini terpakai untuk pembelian alat pendingin hawa atau peti sejuk yang berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh ST. Ia dianjurkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kerjasama ST dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) sebagai agensi pelaksana,” katanya. – UTUSAN