Belagu Dayang Nurfaizah raih carta No 1 - Utusan Malaysia

Belagu Dayang Nurfaizah raih carta No 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA LUMPUR : Penyanyi popular Dayang Nurfaizah melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada peminat kerana meletakkan album klasik terbarunya, Belagu berada di tangga nombor satu carta Itunes Apple Store dalam tempoh hanya dua jam ia diedarkan hari ini.

Jelas Dayang, dia terharu dengan sambutan hangat diberikan pendengar dan peminat muzik tempatan terhadap album klasik tersebut.

“Dayang dimaklumkan oleh pengurus, Sharina Ahmad, Belagu mula diedarkan di seluruh penstriminan muzik tepat jam 12 malam tadi dan dua jam selepas itu ia berada di tangga nombor satu di carta album paling laris jualan di Itunes Apple Store.

“Alhamdullilah! terasa segala perancangan bertahun-tahun dan kerja keras dicurahkan untuk menghasilkan album ini sangat berbaloi. Ternyata apa yang saya mahu kongsikan dengan peminat muzik tempatan diterima baik,” katanya.

Album Belagu yang menghimpunkan khazanah lagu terbaik tempatan dan nusantara dan diberikan nafas baru oleh Dayang, mula diedarkan hari ini.

Selain itu menurut Dayang, sambutan hangat diberikan peminat terhadap album Belagu juga merupakan petanda positif bahawa industri muzik tempatan masih mampu berkembang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Dayang turut merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa pihak yang banyak membantu dalam merealisasikan impian menghasilkan Belagu terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Album Belagu menghimpunkan lagu klasik antaranya Tudung Periuk, Malam Ku Bermimpi, Kenang Daku Dalam Doamu, Tari Tualang Tiga.

Album ini juga adalah projek khas Dayang yang menyaksikan kerja-kerja rakaman dilakukan secara langsung dengan studio khas dibina dalam sebuah gudang, bagi membolehkan segala logistik dan kerja rakaman berlangsung dengan sempurna dalam tempoh dua hari.

Bagaimanapun persediaan awal dalam merancang rakaman dapat dilakukan dengan sempurna telah berlangsung sepanjang tahun lalu.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya