Bayi 39 hari derita otak luar tempurung - Utusan Malaysia

Bayi 39 hari derita otak luar tempurung

FATIN Hazlin Dahlia Mazlam mendukung Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman yang mengalami masalah otak di luar tempurung kepala di Kampung Batu Hampar, Manir di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/NORADILA MAHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hati ibu bapa mana yang tidak pilu apabila cahaya mata bongsu mereka yang baru berusia 39 hari terpaksa menanggung penderitaan akibat masalah otak di luar tempurung kepala.

Lebih menghibakan, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, dan suaminya, Mohd. Lekman Zakaria, 35, apabila insan tersayang yang dilahirkan seberat 2.48 kilogram di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini pada 13 Januari lalu turut disahkan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki.

Fatin Hazlin Dahlia berkata, bayi lelakinya, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman itu pernah menjalani pembedahan pada saraf tunjang seawal usia tujuh hari.

“Doktor pakar memaklumkan pembedahan perlu dibuat dalam masa terdekat bagi memasukkan semula bahagian otak ke dalam tempurung kepala anak saya.

“Masalah kesihatan Sayyid Uwais Al-Qarni sudah dikesan ketika saya hamil empat bulan lagi tetapi sebagai ibu saya tidak sanggup untuk menggugurkan kandungan walaupun disarankan pihak hospital agar berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Batu Hampir, Manir di sini semalam.

Fatin Hazlin Dahlia nekad meneruskan kandungannya itu dan sentiasa melakukan pemeriksaan susulan dengan doktor pakar sehingga anak ketiganya dilahirkan secara normal.

Suri rumah itu berkata, walaupun pembedahan yang bakal dijalani Sayyid Uwais Al-Qarni nanti berisiko, namun dia tetap berdoa agar proses tersebut berjalan lancar.

“Besar harapan saya dan suami untuk melihat anak kami membesar dengan sihat dan terus dipanjangkan usia,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan bebanan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 1100141100012525 atau menghubungi talian 01163727869. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya