Basikal lajak: Pemandu wanita punca 8 remaja maut diperintah bela diri

Basikal lajak: Pemandu wanita sebabkan kematian 8 remaja diperintah bela diri

TERTUDUH, Sam Ke Ting (kanan) diperintah bela diri atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal di Mahkamah Tinggi di Johor Bahru, Johor. - FOTO/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi memerintahkan pemandu wanita membela diri atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak, empat tahun lalu.

Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Sam Ke Ting, 26.

Shahnaz membuat keputusan tersebut ketika prosiding hari ini berhubung rayuan dibuat pendakwaan pada 10 November 2019 selepas Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan tertuduh daripada dakwaan itu.

Mengikut pertuduhan, Ke Ting yang ketika itu berusia 22 tahun didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal di Jalan Lingkaran Dalam, pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Kelapan-lapan mangsa ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd. Azhar, 16; Fauzan Halmijah, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Shahnaz dalam penghakimannya memerintahkan tertuduh untuk membela diri bersabit kes berkenaan yang didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 9, 10 dan 11 Mei ini untuk pembelaan manakala tertuduh dibenar jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, serta pasport dan lesen memandunya diserahkan ke mahkamah sepanjang perbicaraan kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Faizal Mokhtar.

Pada 18 Oktober 2019, Majistret Siti Hajar Ali membebaskan tertuduh selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Keputusan itu dibuat Siti Hajar selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan sejak kes itu dibicarakan pada 28 Mac 2017. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN