JOHOR BAHRU: Seorang bapa lega apabila kembali disatukan semula dengan anaknya, Ahmad Radi Djonnaidi, 12, yang terkandas di Indonesia sejak setahun lalu selepas kanak-kanak itu pulang ke pangkuannya, hari ini.
Ahmad Radi tiba di Terminal Feri Stulang Laut di sini bersama tiga lagi rakyat Malaysia yang terkandas di negara republik itu akibat pandemik Covid-19.
Bapa Ahmad Radi iaitu Djonnaidi Tamam, 57, dan isteri, Ratna Dewi, 42, berasal dari Tanjung Balai, Indonesia terharu kerana urusan membawa anak sulungnya pulang berhasil dengan bantuan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Johor dan Alumni 4B Negeri Johor.
Djonnaidi sebelum ini buntu memikirkan cara terbaik untuk membawa semula anaknya pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir, Tampoi.
“Kami sekeluarga amat rindukan Ahmad Radi. Semasa terkandas di sana, anak saya tinggal bersama-sama neneknya di Kampung Panker, Tanjung Balai. Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada DMDI Johor,” katanya kepada pemberita hari ini.
Djonnaidi memiliki taraf penduduk tetap (PR) manakala Ahmad Radi berstatus warganegara.
Selain Ahmad Radi, tiga lagi rakyat Malaysia ialan Md. Roslan Kadir, 43; Faizal Jailani, 38 dan Mohd. Faizul Hakimi, 21, yang kesemua mereka berasal dari Melaka.
Kepulangan mereka ke tanah air ini disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dari Melaka dan Pengerusi DMDI Johor Bahru, Sumawan Md. Som.
Sementara itu, Nor Azman berkata, pihaknya lega setelah proses membawa pulang ketiga-tiga penduduk negeri itu berjalan lancar tanpa sebarang rintangan.
“Keempat-empat mereka akan dikuarantin selama 10 hari di sebuah hotel di bandar raya ini dengan semua kos akan saya tanggung. Sebelum ini pihak kami berurusan dengan Konsulat Malaysia di Medan, Indonesia untuk ketiga-tiga lelaki ini,” katanya.
Sebelum ini, Md. Roslan dan Faizal Jailani yang merupakan nelayan dari Pantai Kundor, Tanjung Kling, hanyut hingga ke Pulau Rupat dekat Bengkalis pada 18 Februari lalu selepas perahu mereka karam.
Mohd. Faizul dari Batu Berendam, Melaka pula ditahan di Depoh Imigrasi di Bengkalis sejak hujung tahun lalu manakala Ahmad Radi terkandas di Tanjung Balai, Karimun sejak setahun lalu semasa mendaftar di sebuah sekolah pondok di sana pada Februari 2020.
Sementara itu, Sumawan berkata, pihak DMDI Johor simpati dengan nasib Djonnaidi yang sudah tidak bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil keputusan menanggung kos pulang Ahmad Radi ke sini. – UTUSAN ONLINE