Banyak aspek ‘karut’ dalam buku Tommy Thomas - Takiyuddin

Banyak aspek ‘karut’ dalam buku Tommy Thomas

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Banyak aspek dalam buku biografi tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ adalah karut, terutama menyentuh soal akauntabiliti, ketelusan dan keadilan pegawai undang-undang yang bertugas di Jabatan Peguam Negara dan mahkamah seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai seorang bekas pegawai undang-undang ketika permulaan kerjaya dalam bidang perundangan pada tahun 1980-an, beliau percaya setiap pegawai yang berkhidmat sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip utama undang-undang. 

Beliau yang juga Ahli Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA) berkata, dengan berpegang kepada prinsip tersebut, setiap tindakan adalah dalam ruang lingkup undang-undang, bebas dari sebarang pengaruh, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak yang menjurus ke arah menjejaskan integriti dan tugasan pegawai undang-undang. 

“Justeru saya berpandangan penulisan buku tersebut jelas menjurus kepada unsur ‘penghinaan’ serta bersifat ‘mala fide’ yang kesannya menjatuhkan integriti serta maruah institusi perundangan negara amnya dan pegawai-pegawai undang-undang khasnya. 

“Adalah amat jelas pada umumnya Jabatan Peguam Negara dan mahkamah merupakan institusi perundangan yang sentiasa bersikap terbuka serta menerima baik segala pandangan dan cadangan dari dalam dan luar mahupun kritikan yang membina. Inilah sikap kita yang menghormati prinsip ‘fundamental liberties’ atau kebebasan asasi yang terdapat dalam  Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, setiap teguran membina kepada institusi perundangan negara boleh meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan tugas-tugas kehakiman dan perundangan dalam kalangan pegawai-pegawai bidang itu. 

Walau bagaimanapun, katanya, teguran tersebut hendaklah dibuat dengan niat ikhlas dan ‘with reasonable courtesy and responsiblity within the limits of the law’

Beliau berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam Hal Undang-Undang serta pernah menjadi pengamal undang-undang sejak tahun 1990, beliau amat percaya bahawa proses keadilan tidak boleh dilaksanakan dengan baik, lancar dan berkesan tanpa sokongan daripada pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara, Mahkamah serta pengamal undang-undang sektor swasta. 

Jelasnya, integrasi serta kerjasama ketiga-tiga sektor itu mampu memastikan undang-undang dan keadilan dapat ditegakkan dalam masyarakat. 

“Saya turut yakin kebolehan, komitmen, dedikasi, kemahiran serta kejujuran pegawai-pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan di mahkamah tidak boleh dipersoalkan sama sekali. 

“Setiap tugasan yang  dilaksanakan mereka adalah mengikut lunas undang-undang secara tersurat mahupun tersirat, tidak sekali-kali mengikut selera sendiri malah jauh dari bertujuan meraih populariti di mata mana-mana pihak,” katanya.

Justeru, Takiyuddin memberi jaminan pihak kerajaan akan sentiasa memerhatikan dan bertindak mengikut undang-undang terhadap sebarang usaha memperkecilkan badan perundangan dan kehakiman serta pegawai-pegawainya. 

Tegasnya, prinsip ‘the rule of law’ perlu dijadikan garis panduan bagi setiap individu mahupun kumpulan dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan. 

Oleh itu, kata beliau, semua pihak tertakluk kepada undang-undang, tidak mengira apa pun keadaan atau pangkatnya. 

“Saya berseru kepada pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan di mahkamah terus menanam azam dan semangat tinggi untuk menjayakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada kita bagi mendokong prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang negara Malaysia tercinta ‘without fear or favour’,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya